May 15, 2012 siswa_news01
Tanggal 10 Mei lalu telah menyaksikan bagaimana mahasiswa menang buat
kali kedua bagi kes mahasiswa mencabar undang-undang drakonian iaitu
Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Mahkamah telah memutuskan
kemenangan bagi pihak 5 orang mahasiswa daripada Kolej Universiti
Insaniah (KUIN) apabila mereka telah mencabar keputusan penggantungan 5
orang pelajar KUIN yang didakwa bersalah atas perbuatan melakukan
demonstrasi di dalam kawasan kolej Mei 2011.
Kemenangan pertama mahasiswa adalah apabila mahkamah juga telah
memutuskan kemenangan bagi pihak 4 orang mahasiswa daripada Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) yang telah di dakwa melanggar AUKU kerana
terlibat dengan kempen pilihanraya kecil Hulu Selangor. Akhirnya
mahkamah juga telah memutuskan kemenangan bagi pihak mahasiswa walaupun
selepas itu kedengaran Perdana Menteri akan membawa kes itu ke Mahkamah
Rayuan pula.
Perkara ini sangat mendukacitakan kerana sebelum diputuskan
kemenangan mahasiswa tersebut, kerajaan juga telah membuat pengumuman
penting bahawa mahasiswa akan dibenarkan terlibat dengan politik setelah
AUKU dipinda. Mahasiswa masih ragu dengan perubahan yang bakal
dilaksana oleh kerajaan melihat kepada senario yang melanda dalam kes 4
mahasiswa UKM ini.
Apa
yang mahu saya tegaskan di sini, memandangkan kes 5 orang mahasiswa
daripada KUIN ini adalah berbeza daripada apa yang berlaku di
kampus-kampus IPT lain adalah berkenaan pentadbiran KUIN dibawah
kerajaan Pakatan Rakyat Kedah seharusnya menolak penggunaan sebarang
undang-undang zalim seperti AUKU yang mencengkam kebebasan suara
mahasiswa. Terbaru juga mengenai AUKU apabila saya dan 2 orang
mahasiswa Universiti Malaya juga telah digantung pengajian dek kerana
demonstrasi pemansuhan PTPTN. Inilah undang-undang yang membuatkan ramai
kalangan mahasiswa tidak berani kehadapan sedangkan mereka adalah
jurubicara rakyat!
Mahasiswa perlu diberi kuasa autonomi
Menjelang pilihanraya umum ke-13 ini, amat besarlah hasrat mahasiswa
untuk melihat perubahan dalam negara menuju Malaysia yang lebih
sejahtera. Perubahan yang bakal terlaksana dalam negara terutama kami
di peringkat mahasiswa mahu AUKU dimansuhkan dan bukan sekadar dipinda
bagi kepentingan mana-mana parti politik sekalipun.
Universiti perlu dibebaskan sama sekali daripada pengaruh politik dan
mahasiswa perlu diberikan kuasa autonomi seperti mana yang telah
dituntut dalam Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik sebelum ini iaitu
memansuhkan AUKU dan AKTA 174, membebaskan ilmuan berakademik,
membebaskan mahasiswa bersuara, memberi hak mahasiswa mengurus pilihan
raya kampus, membebaskan mahasiswa mengurus persatuan dan aktiviti dan
memberi hak kepada mahasiswa berpartisipasi dalam politik sepenuhnya.
Kami merasakan pemansuhan AUKU ini akan memberikan banyak perubahan
kepada mahasiswa di menara gading. Salah satu perkara yang ingin saya
tegaskan juga kepada mahasiswa di luar sana, janganlah berfikiran
tertutup dengan agenda pemansuhan AUKU ini. Kami sering dikaitkan
dengan agenda pembangkang sekiranya tidak selari dengan kerajaan
sedangkan agenda pemansuhan AUKU ini tiada kaitan langsung dalam memberi
kepentingan kepada pembangkang mahupun kerajaan. Ianya adalah tuntutan
hak mahasiswa dan ahli akademik supaya tidak dicengkam undang-undang
zalim.
Kita tahu bahawa semua pihak ingin melihat mahasiswa maju tampil
kehadapan dan bukan sekadar belajar di bilik kuliah tanpa mempedulikan
keadaan sekeliling serta menyelesaikan permasalahan yang kian meruncing
dalam negara termasuklah gejala-gejala negatif, membanteras rasuah,
menolak politik tidak matang dan memimpin negara akan datang. Ayuh,
bebaskan mahasiswa!
Muhammad Safwan Bin Anang @ Talib
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia