Welcome Message

HIJAU BULAT (mendepani kesejahteraan rakyat)

..Kehebatan Manusia Bergantung Sejauhmana Kita Hebat Dengan Allah...
twitter

Follow on Tweets

Thursday

Moderator debat KJ/Rafizi menulis surat kepada Hasan Ali pula...!!


Assalamualaykom w.b.t.
YB Dato’ Dr Hasan Ali yang saya hormati,
Saya kira tidak perlulah saya perkenalkan diri saya memandangkan Dato merupakan tokoh dan sahabat yang saya kagumi. Saya kira, Dato’ juga tetap menganggap saya sebagai kenalan rapat Dato’ sekeluarga. Secara ikhlas, saya mula mengkagumi Dato’ sebagai motivator semenjak saya di bangku sekolah lagi, sehinggalah Dato’ menceburkan diri ke dalam bidang politik. Walau bagaimanapun kekaguman saya tidaklah menjadi penghalang untuk saya menyatakan sedikit pandangan terhadap pendirian Dato’ mutakhir ini berdasarkan neraca ilmu dan keadilan. Kesedaran bahawa apa yang telah Dato’ lemparkan kepada mantan parti Dato’ sendiri, iaitu PAS, di dalam kenyataan-kenyataan Dato’ di media dan juga lewat ceramah-ceramah Dato’ yang bercanggah dari amanah keilmuan dan kebenaran, maka saya terdorong untuk menulis surat terbuka ini.
Sebagai ahli akademik yang mengkaji bidang gerakan Islam, politik Islam dan juga Usul al-Fiqh, saya berasa terpanggil untuk mengarang surat terbuka ini kepada Dato’ untuk menilai beberapa kenyataan Dato’ dari pertimbangan ilmu dan kacamata ilmiah di dalam bidang pengkajian saya. Saya kira tulisan surat terbuka saya sebagai ahli akademik ini adalah sebagai tanggungjawab saya kepada kejujuran terhadap disiplin ilmu yang saya pikul dan bukannya sebagai ahli politik. Saya bukanlah ahli parti PAS, yang tampil untuk membela PAS dari serangan Dato’. Maka saya bertegas menyatakan apa yang saya tulis ini hanyalah semata-mata pendangan orang luar dan ahli akademik yang neutral dan tidak berpihak, baik kepada Dato’ mahupun kepada parti PAS yang telah memecat Dato’.

Saya kira Dato’ mungkin telah maklum dengan pencapaian gerakan-gerakan Islam moderat di utara Afrika seperti Ikhwan Muslimun di Mesir, parti Ennahda di Tunisia, parti keadilan dan pembangunan (PJD) di Morocco dan juga parti-parti Islam lain selepas kebangkitan rakyat (Arab Spring). Kemenangan kesemua gerakan-gerakan tersebut secara empirikalnya seperti yang telah dianalisis oleh pakar politik di rantau berkenaan merujuk kepada tiga perkara utama: ‘Wacana Islam moderat yang segar’; Kesediaan ‘perkongsian kuasa’ (power sharing); dan juga ‘pengaruh di kalangan rakyat’ melalui jaringan kerja kebajikan dan juga pendidikan yang menyeluruh, berterusan serta meluas.
Apa yang dimaksudkan dengan wacana moderat yang segar ialah kemampuan gerakan-gerakan tersebut untuk menawarkan apa yang diperlukan oleh rakyat dan apa yang diperlukan oleh sesebuah Negara di dalam pendekatan mereka. Wacana moderat juga telah memperlihatkan bagaimana gerakan-gerakan Islam, tidak lagi memaksakan apa yang mereka mahukan atau percaya ke atas rakyat tanpa kerelaan majoriti. Maka, di dalam wacana baru mereka, gerakan-gerakan Islam tidak lagi menawarkan retorik ‘Dawlah Islamiyyah’ (Negara Islam) yang agak bersifat utopia dan tidak tentu apakah modelnya. Mereka juga tidak menawarkan hukuman jenayah Islam ‘secara paksaan’ seperti yang pernah dilakukan oleh Taleban di Afghanistan, sebelum keadaan ekonomi dan kebajikan yang kondusif disediakan di dalam negara mereka. Mereka juga tidak mempamerkan diri sebagai penghukum, tetapi mereka muncul sebagai pembawa harapan, pejuang kebebasan dan pelaksana keadilan setelah rakyat ditindas dan dizalimi selama berdekad-dekad lamanya oleh para diktator. Perkara ini telah membuatkan ramai dari kalangan pengkaji di barat telah mula mengatakan bahawa golongan ini telah merubah sikap dan prinsip mereka, lantas menggelar fenomena ini sebagai post-Islamism (pasca-Islamisme).
Saya konsisten untuk tidak menyokong istilah pasca-Islamisme yang sarat dengan makna neo-kolonialisme. Hakikatnya gerakan-gerakan Islam yang terlibat tidak pernah merubah prinsip. Mereka juga tidak meninggalkan landasan perjuangan, apatah lagi mengubah pendirian. Apa yang berlaku ialah proses kematangan gerakan-gerakan terlibat untuk melihat Islam dalam kerangkanya yang lebih luas dan komprehensif. Kejayaan beberapa individu berlatarbelakangkan Islamis di Turki melalui agenda neutral AKP, telah menjadi sumber inspirasi gerakan-gerakan tersebut. Wacana ini juga bertunjangkan konsep Maqasid al-Shariah dan melihat ajaran Islam dari aspek yang holistik, terutamanya aspek moral dan keadilan. Gelombang perubahan pada pendekatan inilah yang telah melanda kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia mutakhir ini, tidak ketinggalan PAS yang Dato pernah sertai dahulu. Gelombang ini sekaligus melenyapkan pengaruh model Iran yang pernah mendominasi wacana gerakan-gerakan Islam sedunia dengan melaungkan pembinaan sebuah republik Islam dan juga pemerintahan mutlak golongan agama (Wilayatul Faqih).
Realitinya kini, gerakan-gerakan Islam moderat yang wujud lebih memilih ruang demokrasi untuk membawa perubahan. Mereka juga melaungkan pembentukan negara sivil milik semua warga dengan menjamin kebebasan politik, penegakan keadilan, hak upaya masyarakat sivil, hak wanita, tatakelola yang baik, kebajikan rakyat yang terpelihara, ekonomi yang lebih berdaya saing serta bebas dari korupsi, pecah amanah dan rasuah, serta perkongsian kuasa bersama rakyat dari segala lapisan dan kumpulan. Menurut kajian saya ke atas wacana baru PAS, terutamanya melalui konsep ‘Negara Berkebajikan’, PAS juga tidak terlepas dari arus perubahan ini. Jika Dato’ merasakan pendekatan baru PAS ini bermakna PAS telah meninggalkan perjuangan Islamnya, saya kira Dato’ tersilap. Perubahan pada PAS bukanlah kerja parasit sepertimana yang Dato’ dakwa, tetapi ianya merupakan satu dinamisme tabi’i bagi sebuah gerakan Islam yang matang. Jikalaulah parasit yang telah menyebabkan perubahan pada PAS, maka pastinya kesemua gerakan Islam di Utara Afrika dan Asia Barat, termasuk Ikhwan Muslimin di Mesir dan juga parti Ennahda juga telah dilanda parasit. Timbul dilemma di dalam pemikiran saya, apakah pemimpin dan tokoh ideolog gerakan Islam sedunia, Rashid Ghannoushi yang telah mencetuskan wacana gerakan Islam yang baru itu juga telah dijangkiti parasit? Apakah mungkin Dato ingin mengatakan bahawa Rashid Ghannoushi yang merupakan sumber inspirasi perubahan fikrah pada gerakan-gerakan Islam moderat sedunia itu pula merupakan bapa parasit?
Yakinlah Dato’, sepertimana gerakan-gerakan tersebut telah berjaya mendapatkan majoriti undi di dalam pilihanraya di negara-negara mereka kerana pendekatan baru ini, PAS juga sedang meniti langkah tersebut. Inilah yang ditakuti oleh UMNO dan kerajaan BN. Pihak lawan tidak mahukan PAS mendapat sokongan majoriti masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia. Pihak lawan mahu PAS kekal sebagai parti kampung milik Pak Lebai dan Pak Haji. Pihak lawan juga tidak mahu PAS bangkit sebagai parti milik semua rakyat Malaysia, mereka lebih selesa PAS dikenali sebagai parti ekstrimis dan fundamentalis yang hanya tahu memotong tangan orang sahaja. Hanya dengan wacana Islamis global yang baru ini sahajalah niat buruk mereka akan terhalang. Malang sekali apabila Dato’ pula yang mula bercakap senada dan seirama dengan pihak lawan menentang perubahan pada PAS. Lebih malang lagi kini Dato’ menjadi suara pihak lawan untuk memaksa PAS kembali ke kerangka persepsi lama rakyat terhadap mereka yang telah dilelong oleh pihak UMNO dan BN.
Saya yakin, di dalam PAS masih terdapat segelintir yang termakan umpan Dato’ lantas mempercayai kewujudan parasit. Mereka ini golongan yang ikhlas tetapi hanya kurang mendapat pendedahan terhadap dunia luar sahaja. Ada di antara mereka juga yang berkepentingan, lantas menggunakan hujah Dato’ untuk kekal berpengaruh, tetapi saya yakin mereka ini teramat kecil bilangannya. Melalui pengamatan saya, PAS akan terus menggalas harapan rakyat dan juga kefahaman Islam yang sebenar berteraskan wacana baru gerakan Islam sedunia untuk menempuh hari muka mereka. Seperkara yang perlu Dato’ ketahui, wacana baru gerakan Islam moderat ini juga telah mendapat restu dari para ulama terkemuka seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr Tawfiq al-Wa’ie, Dr Rashid al-Ghannoushi. Amat kasihan kerana Dato’ tidak dapat bersama lagi dengan realiti baru ini.
Apabila melihat kepada isu ‘Negara Berkebajikan’ pula, pada hemat saya, setelah meneliti dokumen ‘Negara Berkebajikan’ PAS dan membandingkannya dengan manifesto parti-parti Islam moderat lain di dunia Arab, saya mendapati PAS ternyata senada dengan mereka yang telah Berjaya di negara masing-masing. Saya berkeyakinan gagasan ‘Negara Berkebajikan’ merupakan satu langkah drastik PAS di dalam membawa perubahan dan menyuarakan persiapan mereka untuk muncul sebagai alternatif kepada parti pemerintah yang sedia ada. Prinsip-prinsip konsepsual ‘Negara Berkebajikan’ yang dibentangkan di dalam dokumen tersebut dan juga cadangan mekanisme perlaksanaannya merupakan satu anjakan paradigma bagi sebuah gerakan dakwah dan parti politik yang telah matang seperti PAS. Jelas sekali PAS sudah melayakkan dirinya untuk menyertai gelombang perubahan yang melanda gerakan Islam di seluruh dunia dengan membuktikan bahawa golongan Islamis mampu dan bersedia untuk berkongsi kuasa dan memerintah di dalam kerangka demokrasi dan tatakelola yang baik. Malangnya, hal ini tidak disambut positif oleh Dato’, malah dipandang sinis.
Melihat kepada isu hudud yang Dato’ anggap telah ditinggalkan oleh PAS, saya kira itu juga agak kurang tepat. Sebagai sebuah parti Islam, saya berpendapat PAS dilihat amat konsisten memperjuangkan apa yang mereka yakini, iaitu kewajipan melaksanakan hukum hudud. Apa yang menarik ialah pendekatan PAS yang terbuka untuk membicarakan isu tersebut di ruang umum dan bersedia untuk meyakinkan rakyat melalui proses pendidikan dan dakwah adalah sesuatu yang patut dihargai. Apa yang saya dapati melalui metod obervasi ke atas ruang ‘discursive’ PAS selama ini, PAS tidak memilih untuk memaksakan hudud ke atas orang lain secara kekerasan. Malah di dalam banyak kenyataan PAS, mereka bersedia untuk mendengar suara majoriti di dalam melaksanakan hukum jenayah Syariah itu. Pendekatan diplomasi PAS ini harus dihormati kerana ia mencerminkan sikap professionalisme PAS dan keterbukaan para pimpinannya. Saya kira kerana sikap konsisten PAS inilah yang menyebabkan parti itu telah berjaya meraih sokongan ramai bukan Islam melalui ‘Kelab Penyokong PAS’.
Akhirkata, jika Dato’ benar-benar ingin memperjuangkan aqidah dan memerangi gejala murtad yang dikatakan sebagai mengancam umat Islam di Selangor, saya mempunyai pelan tindakan yang boleh Dato’ lakukan berdasarkan kekuatan yang ada pada diri Dato’. Sebagai seorang motivator yang begitu meyakinkan dan berupaya bermain dengan emosi orang ramai, saya rasa sudah sampai waktunya Dato’ untuk turun padang bertemu dengan mereka yang didakwa murtad berdasarkan senarai yang rakan-rakan Dato’ miliki. Mungkin juga Dato’ boleh menggunakan kemahiran tersebut juga untuk berdakwah kepada mat-mat rempit, tahi dadah, remaja berpeleseran yang terdapat di dalam negeri Selangor secara sukarela tanpa sebarang bayaran. Jika dulu mungkin Dato’ sibuk dengan tugas exco, kini Dato’ lebih mempunyai waktu lapang. Buktikanlah kata-kata Dato’ yang ingin menjaga aqidah itu. Saya kira Dato’ juga boleh berdakwah di Hard Rock Café menyeru umat Islam agar bertaubat dan menghayati agama Islam. Saya pasti pemilik Hard Rock Café tidak akan menghalang kerja murni Dato’ itu. Saya yakin 10,000 atau lebih orang yang turut berHIMPUN bersama Dato’ untuk menyelamatkan aqidah umat Islam boleh Dato’ kerahkan dari seluruh negara untuk sama-sama turun padang demi menyelamatkan aqidah umat Islam secara praktikal. Saya amat meyakini, jika Dato’ berdakwah seperti itu, Dato’ akan tetap dikenang kawan ataupun lawan sebagai ‘pejuang aqidah yang sebenar!’.
Dr Maszlee Malik
Ahli Akademik Politik Warga
UIAM

Empat tokoh profesional masuk PKR


KEADILAN dengan berbesar hati ingin mengumumkan penyertaan empat orang tokoh profesional sebagai anggota KEADILAN.  Mereka adalah Koh King Kee, bekas Pengurus Kanan Am Jabatan Perniagaan Antarabangsa di Nam Fatt Corporation Berhad, Brigadier Jeneral (B) Abdul Hadi Abdul Khatcab, Praba Ganesan, bekas Pengarang laman portal berita internet The Malaysian Insider dan Dr.Abdul Aziz Bari (gambar bawah), bekas pensyarah undang­-undang di Universiti Antabangsa Malaysia (UIAM).

Koh King Kee yang merupakan graduan lepasan Universiti Malaya, pernah menjadi tahanan ISA pada Disember 1974 disebabkan beliau bergiat aktif memperjuangkan KEADILAN sosial.  Beliau seorang tokoh korporat yang sentiasa mengikuti perkembangan politik tanah air walaupun pada ketika beliau menyambung pelajaran di University of Wisconsin dan berkhidmat di syarikat swasta di Beijing.  Atas kepakaran dan pengalaman beliau, KEADILAN telah melantik beliau sebagai Penyelaras Penyelidikan bagi membantu usaha KEADILAN dan Pakatan Rakyat  memenangi kerusi-kerusi dalam Pilihanraya Umum yang akan datang.
Brigadier Jeneral (B) Abdul Hadi Abdul Khattab pula merupakan bekas pegawai tertinggi Tentera Udara Di-Raja Malaysia (TUDM) yang pernah memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia atas pemecatan yang tidak sah beliau berhubung kehilangan dua enjin jet pejuang F5E dari kem TUDM di Sungai Besi.  KEADILAN dengan tanpa syak telah melantik beliau sebagai Pengerusi Perundingan Keselamatan KEADILAN.

Manakala Praba Ganesan yang sangat berpengalaman dalam media baru telah dilantik sebagai Pengurus Strategi Media Parti KEADILAN Rakyat yang akan merancang dan melaksanakan strategi berkaitan media sosial Parti bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 yang bakal menjelang.

Penyertaan Dr. Abdul Aziz Bari sangat membanggakan KEADILAN kerana kepakaran dan karismatik beliau begitu menguntungkan perjuangan KEADILAN dan Pakatan Rakyat dalam usaha me-"MERDEKA"-kan RAKYAT dari rejim UMNO dan Barisan Nasional.

KEADILAN sangat mengalu-alukan penyertaan empat tokoh profesional ini dan membuka seluas-luas pintu kepada mana-mana tokoh atau individu yang ingin turut serta bersama KEADILAN dalam memperjuangkan agenda reformasi dan keadilan untuk masa depan Malaysia yang cerah.

Tuesday

Mahfuz: Pakai warna korporat untuk perhimpunan 1 Jun

Pengarah program Himpunan Hijau ke Putrajaya, Datuk Mahfuz Omar berkata ahli dan pemimpin PAS ditetapkan untuk memakai pakaian berwarna hijau untuk menyertai perhimpunan 1 Jun di Alor Setar, Kedah.

NONE"Hijau itu lambang korporat PAS bukan bermakna kita bersendirian mahu ke Putrajaya, tetapi kita mahu PAS menjadi pendukung utama menggerakkan usaha Pakatan Rakyat menuju Putrajaya," katanya dipetik Harakahdaily.

Perhimpunan yang mensasarkan penyertaan 100,000 orang itu diadakan memandangkan PAS menangguhkan muktamar tahunannya sebagai persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum, kata Mahfuz.

"Oleh kerana laporan kaji cuaca yang menujukkan pilihan raya tidak menentu tarikhnya, jadi kita bimbang berlaku pembubaran, kita tangguh muktamar dan gantikan dengan Himpunan Hijau," katanya lagi.

Katanya, program pada hari itu terbahagi kepada tiga sesi iaitu – pagi, selepas solat jumaat dan malam.

Sesi pagi akan dimulakan dengan satu taklimat tertutup kepimpinan tertinggi parti seluruh negara dan ahli yang berhormat bersama presiden PAS di Kompleks PAS negeri, Kota Sarang Semut.

Sesi kedua pula diadakan di Stadium Darul Aman dan akan menghimpunkan seluruh anak muda dalam program yang dinamakan Xpresi Hijau Anak Muda ke Putrajaya.

Program tersebut diisi dengan satu kuliah daripada penceramah popular Azhar Idrus dan juga persembahan termasuk sketsa oleh anak muda sehingga jam 6.45 petang.

Pada sebelah malam pula, solat berjamaah dan munajat perdana akan diadakan dengan pimpinan seorang tokoh ulama pondok, Tuan Guru Salleh Musa.

Program kemuncaknya ialah selepas itu ialah ucapan oleh pemimpin utama PAS, termasuk Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan  Abu Bakar, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pemimpin PAS juga akan melafazkan ikrar mereka untuk memastikan Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya ke-13, diketuai setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali.

Turut dimuatkan dalam program tersebut ialah deklamasi pusi khas oleh Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, serta ucapan oleh wakil bekas penjawat awam, wakil bekas tentera, wakil artis serta wakil selebriti yang menyertai PAS.

Rafizi: Hutang PTPTN boleh dihapus jika kerajaan ada kemahuan



Wartawan Sinar Harian
23 Mei 2012
Rafizi: Hutang PTPTN boleh dihapus jika kerajaan ada kemahuan
Datuk Abdul Jalil Ali menyambut kedatangan Rafizi Ramli - Gambar
 
SHAH ALAM – Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menegaskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) boleh dihapuskan jika ada kemahuan di pihak kerajaan.

Sehubungan itu katanya, kos yang perlu ditanggung kerajaan untuk menghapuskan PTPTN hanya RM24 bilion berbanding perbelanjaan lain yang  didakwa beliau bukan untuk saluran yang betul.

Menurutnya, jika kerajaan  menghentikan ketirisan belanja yang dianggarkan bernilai RM28 bilion setiap tahun, maka ia boleh menanggung kos membayar hutang PTPTN penuntut di seluruh 21 universiti  yang ada di negara ini.

Menjawap soalan pasangannya dalam Debat Sinar Harian malam ini, Khairy Jamaluddin  mengenai komitmen kerajaan negeri terhadap konsep pendidikan percuma Rafizi berkata, Kerajaan Persekutuan terlebih dahulu mesti berkongsi pendapatan negara secara adil.

Katanya, ini kerana kerajaan negeri tidak mendapat sepenuhnya pendapatan khususnya di Selangor dan Pulau Pinang  dan itu pastinya tidak  mencukupi untuk melaksanakan konsep pendidikan percuma.

“Seperti yang kita maklum, pendidikan tinggi ini  dibiayai oleh kerajaan persekutuan,  bukan kerajaan negeri.

“Berapa sen sangatlah kami (pembangkang)  dapat daripada pendapatan Selangor dan Pulau Pinang sedangkan kita  bermasalah kerana  mewarisi kolej-kolej dan universiti daripada  Barisan Nasional,” katanya.

Berhubung masalah kos penubuhan IPT,  beliau membidas hujah Khairy dengan berkata,  sebenarnya  kos pembinaan sesebuah IPT  tidaklah tinggi seperti yang didakwa oleh Ketua Pemuda Umno tersebut.

Katanya, sebaliknya kos yang berganda itu adalah perbelanjaan ‘atas angin’.

SIASATAN AWAM OLEH SUHAKAM

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengumumkan akan menjalankan siasatan awam berhubung dakwaan penggunaan kekerasan tidak sepatutnya oleh pihak polis semasa perhimpunan BERSIH 3.0.

Dalam satu kenyataan, Suhakam berkata ia memutuskan untuk menjalankan siasatan awam tersebut setelah membuat pertimbangan yang serius.

azlanPanel siasatan akan dipengerusikan oleh Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi b Haji Abdul Majid dan Pesuruhajaya Detta Samen.

Manakala terma rujukan siasatan awam tersebut adalah:

1. Untuk menentukan sama ada terdapat apa-apa pelanggaran hak asasi manusia terhadap mana-mana individu atau pihak semasa dan selepas perhimpunan pada 28 April 2012;

2. Jika pelanggaran hak asasi manusia telah berlaku, untuk menentukan:

i.Bagaimana pelanggaran itu terjadi;
ii. Apakah arahan pentadbiran dan prosedur, atau aturan yang menyebabkan pelanggaran tersebut; dan
iii.Individu atau agensi yang bertanggungjawab untuk pelanggaran tersebut.

3. Untuk mengesyorkan langkah-langkah untuk diambil bagi memastikan pelanggaran tersebut tidak akan berulang.

Ia adalah panel yang sama yang menjalankan siasatan awam terhadap BERSIH 2.0.

"Keputusan ini mengambil kira pemantauan Suruhanjaya semasa kejadian pada 28 April 2012 dan beberapa faktor lain yang berkaitan, termasuk penyerahan aduan, laporan dan  memorandum daripada orang awam, kumpulan hak asasi manusia dan profesional, serta ahli-ahli masyarakat sivil yang lain kepada Suruhanjaya berhubung dengan perkara itu, yang mana semua telah menggesa agar satu siasatan bebas dijalankan ke atas kejadian tersebut," Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam.

"Suruhanjaya ingin, tetapi tidak lagi boleh menunggu, pemakluman terma rujukan Panel Bebas yang ditubuhkan oleh Kerajaan kerana masih belum dimuktamadkan.

"Walau apapun siasatan yang akan dijalankan oleh Panel tersebut, adalah menjadi tanggungjawab Suruhanjaya untuk menjalankan Siasatan Awam sepertimana mandat yang terkandung dalam Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597).