Himpunan Hijau “Semarak Perjuangan Serlah Keyakinan”
Himpunan Hijau adalah ijtimak terbesar PAS bagi menggarap
gelombang mujahadah seluruh ahli dan jentera parti bagi memperkasakan
persiapan menghadapi PRU ke 13.
Himpunan bagi menggantikan muktamar PAS Pusat yang ditangguh ini akan
menyerlahkan satu penyataan persediaan jentera parti di semua peringkat.
Himpunan ini akan diadakan dalam suasana semua pihak menggembleng tenaga
dan sokongan bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti yang
bakal menerajui negara.
Himpunan ini juga satu medan mendekatkan diri sebagai makhluk Allah
dengan rayuan, bermunajat dan menghambakan diri kepada Allah agar
kemenangan Islam dapat dicapai dalam PRU ke 13.
Munajat kali ini adalah untuk agama, bukan bagi mencapai kepentingan
diri dan peribadi. Munajat yang dapat diambil iktibar dari apa yang
dipohon oleh Rasulullah dan para sahabat:
Al-Baqarah: 250
"Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan
tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami!
Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami
serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir."
Himpunan atau ijtimak ini mampu menyerlah model himpunan paling baik
untuk dinilai oleh rakyat. Rakyat boleh bandingkan dengan Himpunan
Sejuta Belia yang dicemari dengan pelbagai perkara tidak senonoh, malah
mengakibatkan kemalangan dan kecederaan akibat keghairahan manusia bagi
menterjemahkan keegoan dan kesombongan.
Himpunan Hijau ini merupakan himpunan bagi rakyat membanding, meneliti,
menilai dan membuat keputusan antara dua himpunan anjuran Umno dan PAS.
Himpunan Hijau ini tidak disediakan pengangkutan, tiada duit poket,
tiada penyediaan tempat tinggal - semuanya atas keringat usaha peserta
sendiri bagi menterjemahkan kewajipan kita kepada jamaah, pengorbanan
kita bagi mendaulatkan Islam.
Majlis ini tidak dihidang dengan konsert, perlumbaan kereta, artis
berpakaian menjolok mata, tiada tarian dan nyanyian, yang ada adalah
tangisan takut akan azab Allah, merayu pertolongan Allah bagi memelihara
agama dan umat ini.
Himpunan yang jauh dari elemen maksiat dan kemungkaran ini akan
menyerlahkan ketinggian akhlak para pekerja parti dan penyokong serta
dipenuhi dengan perkara yang bermanfaat kepada semua yang mengikutinya
di sana dan juga siaran langsung di dalam pelbagai saluran media baru.
Himpunan Hijau terdiri dari pelbagai acara, bermula dengan mesyuarat
khas pimpinan parti, taklimat tertutup kepada pimpinan seluruh negara,
kuliah dan santai bersama Ustaz Azhar Idrus, disusuli dengan kuliah
maghrib yang akan dipimpin oleh Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz Nik
Mat.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
31 Mei 2012
No comments:
Post a Comment